Di daerah Daus, beliau menjalani masa remaja dalam keluarga yang mulia dan terhormat. Beliau dikurniakan bakat sebagai penyair sehingga nama dan kemahirannya menjadi masyhur di kalangan suku-suku pada zaman itu. Di pekan raya Ukadh, di mana semua orang dari segala penjuru datang membanggakan penyair masing-masing, Thufail berada di barisan yang paling hadapan.
Di luar musim pekan raya Ukadh, beliau juga sering mengunjungi Mekah. Pada suatu ketika, saat beliau berkunjung ke kota suci itu, Rasulullah telah mula berda'wah secara terang-terangan. Orang-orang Quraisy takut sekiranya Thufail menjumpai Rasulullah dan memeluk Islam, lalu menggunakan bakatnya sebagai penyair untuk membela Islam. Jika hal itu terjadi, bererti bencana besar bagi Quraisy dan berhala-berhala mereka.
Oleh sebab itu, mereka terus mendampinginya, menjamunya dengan segala kesenangan, kemewahan dan kenikmatan. Mereka menakut-nakutkannya agar tidak menemui Rasulullah saw. Mereka berkata, “Muhammad memiliki ucapan laksana sihir hingga dapat memisahkan seseorang daripada ayahnya, saudaranya dan daripada suami atau isterinya. Sesungguhnya kami mengkhuatirkan dirimu dan kaummu darinya. Kerana itu, janganlah berbicara dengannya dan janganlah mendengarkan ucapannya.”
Marilah kita mendengarkan Thufail menceritakan sendiri kisahnya.
“Demi Alloh, mereka selalu mendampingiku, sehingga aku sudah bertekad untuk tidak mendengar sesuatu pun daripada mulut Rasulullah dan tidak menemuinya. Ketika aku pergi ke Ka'bah, kututup telingaku dengan kapas agar jika beliau berkata, aku tidak mendengar perkataannya. Di sana aku mendapatinya solat berdekatan Ka'bah. Aku berdiri berhampirannya. Lalu Alloh berkehendak kepadaku untuk mendengarkan apa yang sedang dibaca oleh Rasulullah. Aku mendengar ucapan yang sangat indah. Aku berkata dalam hati, “Demi Robb, aku ini orang pandai dan seorang penyair. Aku dapat membezakan mana yang baik dan buruk. Maka apa salahnya aku mendengar perkataan lelaki itu? Jika perkataannya baik, aku terima, jika buruk, aku tinggalkan. Aku tetap di tempat itu sehingga Dia pulang ke rumahnya. Aku mengikutinya sehingga dia masuk ke dalam rumahnya. Aku juga ikut masuk dan berkata kepadanya. 'Wahai Muhammad, kaummu telah bercerita kepadaku tentang dirimu begini dan begini, sehingga aku tutup telingaku dengan kapas agar tidak mendengar perkataanmu. Akan tetapi, Alloh menghendaki aku mendengarkannya dan aku mendengar ucapan yang indah. Kerana itu, jelaskan kepadaku tentangmu.' Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam menjelaskan Islam kepadaku dan membaca Al-Quran. Demi Alloh, aku tidak pernah menddengar ucapan yang lebih baik daripada itu, dan perkara yang lebih benar daripada itu.
Lalu aku masuk Islam. Aku mengucapkan kalimat syahadat. Aku berkata, 'Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku ini orang yang ditaati oleh kaumku, dan sekarang aku akan kembali kepada mereka, mengajak mereka kepada Islam. Maka mohonkan kepada Alloh agar aku diberi tanda yang dapat membantuku dalam menyeru mereka.' Maka, Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam berdoa, 'Ya Alloh, berikan kepadanya suatu tanda.'”
Dalam kitab suciNya, Alloh telah memuji “Orang-orang yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti yang terbaik.” Sekarang kita bertemu dengan salah seorang daripada mereka. Beliau merupakan gambaran tepat daripada fitrah yang lurus. Baru sahaja telinganya mendengar beberapa ayat mengenai petunjuk dan kebaikan yang diturunkan Alloh kepada RasulNya, semua pendengaran dan hatinya terbuka, lalu tangannya terbentang untuk menyatakan keislamannya. Tidak berhenti di sana, ia langsung memikul tanggungjawab untuk mengajak keluarga dan kaumnya kepada agama yang benar dan jalan yang lurus ini.
Kerana itu, baru saja sampai di Daus (rumah dan kampung halamannya), beliau memaparkan kepada ayahnya apa yang sekarang menjadi keyakinannya. Beliau juga bercerita tentang Rasulullah yang mengajak ke jalan Alloh, bagaimana keagungan, kesucian, kejujuran, keikhlasan, dan ketaatannya kepada Alloh, Robb semesta alam. Setelah itu beliau mengajak ayahnya untuk memeluk Islam.
Saat itu juga ayahnya memeluk Islam. Kemudian beliau menceritakan pula kepada ibunya. Ibunya juga memeluk Islam. Setelah merasa puas kerana seisi rumahnya telah memeluk Islam, beliau beralih mengajak kerabat dan kaumnya untuk memeluk Islam. Ternyata tidak seorang pun daripada mereka memeluk Islam kecuali Abu Hurairah.
Kaumnya menghinanya dan menjauh daripadanya. Akhirnya, beliau tidak sabar lagi menghadapi mereka. Beliau menunggang kudanya, menempuh perjalanan jauh ke tempat Rasulullah untuk mengadukan permasalahannya, sekaligus meminta bekal daripada ajarannya.
Setibanya di Mekah, beliau bergegas ke rumah Rasulullah, diliputi oleh kerinduan yang mendalam. Beliau berkata kepada Nabi, “Wahai Rasulullah, aku tidak mampu menghadapi penghinaan dan riba yang bermaharajalela di desa Daus. Maka mohonlah kepada Alloh agar Ia menghancurkan Daus.”
Thufail sangat terkejut ketika dilihatnya Rasulullah menadah kedua tangannya ke langit dan berdoa, “Ya Alloh, Tunjukilah orang-orang Daus, dan datangkanlah mereka ke sini sebagai orang-orang Islam.” Rasulullah menoleh kepada Thufail dan berkata, “Kembalilah kepada kaummu. Ajaklah mereka dan bersikap lembutlah kepada mereka.”
Peristiwa ini benar-benar mempesona Thufail. Jiwanya penuh kedamaian. Beliau tidak habis-habis memuji Alloh yang telah menjadikan Rasulullah yang penyayang ini sebagai guru pembimbingnya, dan menjadikan Islam sebagai agama dan tempat berlindungnya. Dengan semangat yang tinggi, beliau kembali kepada kaumnya. Di sana, beliau terus mengajak mereka kepada Islam dengan penuh hati-hati dan lemah lembut seperti pesanan Rasulullah saw.
Selama masa yang dilaluinya di tengah-tengah kaumnya, di sisi lain, Rasulullah telah berhijrah ke Madinah, telah melewati perang Badar, Uhud dan Khandaq.
Ketika Rasulullah sedang berada di Khaibar, selesai membebaskan daerah itu dari tangan orang-orang Yahudi, ada rombongan besar yang terdiri daripada lapan puluh keluarga Daus datang menghadap Rasulullah sambil membaca tahlil dan takbir. Mereka duduk di hadapannya berjanji setia (berbaiat) kepada Rasulullah secara bergantian.
Setelah kejadian demi kejadian itu, Thufail bin Amru duduk sendirian merenung, mengingat masa lalunya, merenungkan jalan yang dilaluinya. Beliau teringat saat datang kepada Rasulullah, memohon agar berdoa kepada Alloh untuk kehancuran penduduk Daus, namun beliau berdoa dengan doa lain yang membuatnya terpesona. Rasulullah berdoa, “Ya Alloh, tunjukilah penduduk Daus dan bawalah mereka ke sini sebagai orang-orang Islam.”
Alloh benar-benar telah memberi hidayah kepada penduduk Daus. Mereka datang sebagai orang-orang Islam. Inilah mereka, 80 keluarga mewakili majoriti penduduk Daus. Sekarang, mereka sudah bergabungdalam barisan suci di belakang Rasulullah yang terpercaya.
Thufail melanjutkan perjalanan hidupnya bersama kaum muslimin yang lain. Pada peristiwa pembebasan kota Mekah, beliau ikut memasuki kota Mekah bersama 10 ribu kaum muslimin yang lain, tanpa merasa sombong dan besar kepala, tapi sebaliknya menundukkan kepala dengan khusyu' dan rasa hormat sebagai rasa syukur kepada Alloh yang telah memberikan pembebasan kota Mekah dan kemenangan besar.
Thufail melihat Rasulullah sedang menghancurkan berhala-berhala di Ka'bah. Dengan tangannya sendiri beliau membersihkan kotoran yang telah terbakat tersebut. Thufail teringat sebuah patung milik Amru bin Humamah. Dulu, setiap kali Thufail berkunjung ke Mekah, Amru selalu mengajaknya duduk khusyu' menyembah patung itu. Sekarang, tibalah saatnya bagi Thufail untuk membersihkan dosa-dosa masa lalunya. Beliau mendekati Rasulullah, meminta izin kepadanya untuk membakat patung milik Amru bin Humamah, yang biasa disebut “Dzul Kaffain” (yang memiliki dua telapak tangan)
Rasulullah mengizinkan. Thufail mulai membakarnya. Setiap kali api itu mengecil, beliau menambahnya lagi sambul bersenandung,
“Wahai Dzul Kaffain,
aku bukanlah penyembahmu
kamu lahir setelahku
kini kusiramkan api di perutmu”
Beliau melanjutkan perjalanan hidupnya bersama Rasulullah. Solat di belakangnya, belajar darinya dan berperang bersama-samanya.
Ketika Rasulullah wafat, Thufail melihat bahawa tanggungjawabnya sebagai muslim tidak berhenti di situ, bahkan boleh dikatakan baru saja bermula.
Ketika pertempuran melawan orang-orang murtad berkobar, Thufail menyinsing lengan bajunya, terjun mengalami pahit getirnya hal itu dengan semangat yang tinggi, mengharapkan syahid. Pertempuran demi pertempuran dalam peperangan melawan orang-orang murtad terus diikutinya.
Pada pertempuran Yamamah, beliau berangkat bersama kaum muslimin dengan menghantar puteranya, Amru bin Thufail. Sejak awal pertempuran, beliau telah berpesan kepada puteranya agar berperang dengan gagah berani mengharapkan kesyahidan dan menghadapi tentera Musailamah al-Kadzab. Beliau juga memberitahu puteranya bahawa beliau terasa akan gugur dalam pertempuran kali ini.
Beliau menghunuskan pedangnya, lalu berperang dengan gagah berani. Beliau sama sekali tidak menggunakan pedangnya untuk melindungi nyawanya. Tetapi beliau menjadikan nyawanya untuk melindungi pedangnya, sehingga jika beliau gugur kelak, pedangnya tetap utuh dan dapat digunakan oleh sahabat-sahabat yang lain.
Dalam pertempuran itu, Thufail ad-Dausi gugur sebagai syahid. Beliau jatuh disebabkan sebatang pedang. Beliau sempat melambai kepada anaknya yang samar-samar dilihatnya, seakan mengajak untuk turut serta dengannya.
Dan ternyata, sang puteranya benar-benar mengikut jejak langkahnya tetapi, dalam pertempuran yang lain. Tepatnya di perang Yarmuk, di Syam. Amru bin Thufail ikut dalam rombongan pasukan. Di sana beliau gugur sebagai syahid. Saat menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau menghulurkan tangan kanannya, seakan sedang berjabat tangan.
Siapa yang tahu?!
Boleh jadi saat itu, beliau sedang berjabat tangan dengan roh ayahnya.

